deena and the gang

September 3, 2011

"Saya reda atas pemergiannya" - Isteri Allahyarham Noramfaizul


JOHOR BAHARU 3 Sept. - Norazrina Jaafar, isteri kepada jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor yang terbunuh di Somalia reda dengan pemergian Allahyarham. "Saya reda terhadap kehilangan Allahyarham, Ia adalah qada dan qadar Allah S.W.T. Saya menerimanya,” katanya di sini. Noramfaizul, 39, meninggal dunia pada 11 malam (waktu Malaysia) hari Jumaat setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu. Norazrina, 37, berkata, suaminya pernah mengikuti beberapa tugasan yang berisiko tinggi sebelum ini dengan Allahyarham menganggap ia adalah sebahagian daripada tugasnya sebagai jurukamera berita.

"Sebelum ini, Allahyarham turut mengikuti penghantaran misi bantuan kemanusiaan di kawasan gempa bumi di New Zealand. Tugasan dianggapnya sebagai arahan yang perlu dipatuhi,” katanya.
Rakan karib Allahyarham, Ahmad Azmai Awang yang juga Ketua Jurukamera BernamaTV berkata, sejurus selepas menerima maklumat mengenai tragedi itu, beliau terus menghubungi isteri Allahyarham semalam. Beliau berkata, Noramfaizul merupakan jurukamera yang berdedikasi serta berpengalaman luas membuat liputan di beberapa kawasan konflik dan bencana dunia seperti di Gaza, Pakistan dan New Zealand.

"Tahun ini merupakan kali kedua Allahyarham tidak dapat berhari raya bersama keluarganya kerana tahun lepas beliau turut membuat liputan misi kemanusiaan di Pakistan,” katanya. Ahmad Azmai yang mula mengenali Allahyarham sejak awal 90-an menyifatkan beliau sebagai seorang yang amat ceria dan memiliki komitmen yang tinggi terhadap tugas yang amat diminatinya sebagai jurukamera. "Beliau adalah seorang yang amat ceria, walaupun ketika menghadapi masalah tetapi beliau akan tetap ceria seolah-olah tiada masalah. Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh rakan setugasnya,” katanya.


sumber: Bernama


p/s: al-fatihah dan ucapan takziah pada keluarga allahyarham.

1 comment:

  1. sangat kagum dengan ketabahan isterinya.. walaupun kehilangan orang tersayang pada Aidilfitri.. Alfatihah untuk Almarhum semoga rohnya tenang di sana.. amin

    ReplyDelete

Jutaan trima kasih krn sudi singgah di deena's blog. komen anda semua amatlah deena hargai :)

~deena~

Tinggalkan jejak anda

CITER DAH BASI

~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
get this